SAYA berusia awal 20-an dan mempunyai teman lelaki sebaya dan kami sudah dua tahun terlanjur.
Masalahnya, baru-baru ini, dia memutuskan hubungan kami kerana mempunyai buah hati lain.
Saya amat tertekan kerana kami tidak pernah bergaduh besar sehinggalah saya terbaca pesanan ringkas daripada perempuan itu ketika dia bercuti di rumah saya.
Ternyata perempuan itu pilihannya.
Namun, pelik kerana jika dia tidak sayang, mengapa masih berjumpa, melayan dan menyentuh saya?
Baru-baru ini, saya menelefon perempuan itu dan memintanya mengundurkan diri, namun dia enggan walaupun saya ceritakan keterlanjuran kami. Dia sanggup menerima segala kesalahan teman lelaki saya.
Saya amat tertekan, kecewa dan menderita apa yang berlaku hinggakan dalam masa dua minggu, berat badan saya turun 10 kilogram (kg).
Ibu perasan dengan perubahan saya. Akhirnya, kerana tidak sanggup menyimpan rahsia dan desakan ibu, saya menceritakan keterlanjuran saya bersama teman lelaki.
Ibu terkejut lalu menelefon teman lelaki namun gagal dihubungi. Ibu menelefon ibu teman lelaki saya dan selepas dua kali dia mengaku dan meminta maaf kepada keluarganya tetapi melalui kakaknya dan bukan terus kepada ibunya.
Dia tidak berani untuk berterus terang dengan ibunya kerana keluarganya mempunyai pegangan agama yang sangat kuat.
Masalahnya Dr, keluarganya menyuruh kami menghabiskan latihan praktikal sebelum menyelesaikan masalah ini.
Namun, saya takut dan tidak sanggup menunggu April ini kerana bimbang mereka lupa perkara ini.
Daripada perbuatan kakaknya, seperti tidak ada kesudahan yang baik untuk masalah ini. Walau apapun, saya bersyukur kerana keluarga masih memberi sokongan yang kuat walaupun saya melakukan dosa besar.
Tolonglah Dr, apa harus dilakukan. Saya masih menyayanginya dan sentiasa merinduinya. Ibu sering berpesan, jika dia tidak menerima saya dan tidak mahu bertanggungjawab, lepaskanlah dia kerana itu mungkin kami tiada jodoh. Namun, saya tidak dapat menerima kenyataan itu.
Dr, adakah keluarganya akan mengotakan janjinya untuk menikahkan kami? Adakah teman lelaki saya akan memaafkan saya? Adakah dia akan menikahi saya kerana sayang dan tanggungjawab atau hanya kerana terpaksa? Dan adakah kami akan bahagia nanti?
Saya amat berharap dia akan menjadi suami saya kerana tidak sanggup disentuh lelaki lain. Tolonglah saya.
Gadis sengsara,
Muar, Johor