LUMRAH remaja mempunyai banyak keinginan terhadap sesuatu yang kadangkala tidak dapat dipenuhi kerana terhalang oleh batas agama dan budaya.
Kebanyakan remaja memikirkan fizikal mereka seperti orang dewasa dan meniru untuk bertindak seperti orang dewasa.
Pertentangan sifat itu semakin ketara jika remaja membuat sesuatu menurut kata hati tanpa berfikir semasak-masaknya.
Keinginan mencuba sesuatu yang baru adalah lumrah bagi mereka yang baru ‘mengecap nikmat hidup’ terutama jika sebelum ini keinginan kerap dihalang keluarga.
Kemodenan era globalisasi yang ditunjangi Barat turut membawa bersama pengaruh dan gaya hidup mereka dalam masyarakat kita.
Bagi remaja, gaya hidup masyarakat Barat yang moden, kelakuan dan cara berpakaian tidak senonoh perlu bagi menunjukkan kemodenan mereka biarpun semua itu berlawanan syariat agama.
Jika remaja pandai mengambil kelebihan berkenaan untuk digunakan pada jalan yang betul, ia mampu memberi manfaat tersendiri.
Pertentangan antara keinginan remaja dengan perintah agama menyebabkan jiwa mereka memberontak dan berusaha menepis kenyataan itu dengan menurut kata hati.
Remaja yang mempunyai pegangan agama yang tinggi dan lingkungan keluarga yang tidak mengabaikan perintah agama pastinya dapat menangani masalah ini dengan mudah.
Gejolak jiwa remaja sukar untuk dibendung kerana pada umur sebegitu, mereka mudah dipengaruhi unsur negatif yang berada di sekeliling mereka.
Namun, bagi remaja yang terlanjur melaksanakan sesuatu yang berlawanan dengan perintah agama hendaklah berusaha memperbaiki diri supaya tidak sentiasa terlena dengan sesuatu pengaruh dan kenikmatan yang bersifat sementara itu.
Remaja perlu lebih memahami diri sendiri dan tidak mengabaikan peranan terhadap keluarga. Perhatian yang keluarga berikan sewajarnya tidak disalah erti kerana tiada ibu bapa di dunia ini yang mahu anak mereka hanyut dibuai mimpi.
Sementara itu, setiap remaja perlu mempersiapkan diri sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan Allah.
Remaja perlu ada matlamat dan kesungguhan sebagai insan kerana manusia saja dikurniakan akal dan fikiran yang sempurna berbanding ciptaan Allah yang lain.
Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri seorang remaja jika mereka mahu berjaya dan maju sebagai generasi yang cemerlang serta diberkati.
Untuk itu, remaja harus pandai membawa diri dalam menghadapi dunia yang penuh pancaroba dan elak mengikut kehendak hati.
Akal fikiran yang ada perlu digunakan sebaik mungkin kerana remaja adalah tonggak masa depan dan maju atau mundurnya sebuah negara bergantung kepada mereka.
Zaman remaja hanya sekali dan jika terlepas, ia tidak mungkin kembali lagi. Nikmati masa remaja sebaik mungkin pada jalan yang betul kerana ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.
Article From Metro: Read more http://www.maiila.com/news/jiwaremaja.pdf
Monday, February 25, 2008
Jiwa remaja sentiasa bergelora
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment